Isnin, 24 Oktober 2011

KOLOSTRUM : Cecair bernilai EMAS






Engkau dah beranak nanti, mesti buang susu awal yang basi tu tau, nanti anak kau pula yang sakit, pesan Halimah kepada anaknya yang bakal melahirkan anak sulung kelak.
“Eh, hari pertama tu kau dah ada susu ke? Aku sampai hari ketiga baru susu keluar. Terpaksalah aku bagi anak aku susu tepung sementara menunggu tu keluh Aina pula kepada rakan karibnya Maryam.
“Kenapa ye, hari kedua bayi aku lahir, aku perah susu tu warna kuning? Bukan susu patut warna putih ke? Elok ke bagi kat bayi aku tu?” Soal Lina bertalu-talu kepada Husna. Risau benar dia.
Sesungguhnya, apa yang dibualkan di atas adalah persoalan-persoalan yang sering diajukan oleh ibu- ibu muda. Malah, terdapat pelbagai lagi mitos yang diutarakan mengenai cecair kuning yang pekat dan melekit ini.
Cecair yang dimaksudkan adalah kolostrum atau susu yang dihasilkan oleh seorang ibu pada lingkungan tiga hari pertama selepas kelahiran bayinya. Kolostrum merupakan cecair yang istimewa dan mempunyai pelbagai khasiat penting, khas untuk bayi yang masih lemah dan baru mengenal dunia ini. Ciptaan hebat dari Yang Maha Kuasa ini mempunyai beberapa kandungan tertentu yang amat berharga dan kandungan tersebut tidak terdapat pada susu matang, apatah lagi pada susu formula.
Apakah sifat -sifat cecair yang amat istimewa ini? Kolostrum ini sebenarnya amat kaya dengan antibodi. Terdapat juga banyak sel hidup di dalamnya sehingga digelar darah putih oleh sesetengah pakar kanak -kanak. Ia juga bersifat laksatif dan dapat memudahkan pembuangan air besar bayi. Ia juga mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor) dan ia amat kaya dengan vitamin A.
Apakah pula kepentingan kolostrum ini? Benarkah pandangan warga dahulu kala yang mengatakan kolostrum ini sebagai susu basi? Tidak sama sekali, malah pelbagai kajian telah dilakukan dan kesemua kajian ini bersetuju bahawa kolostrum dapat memberikan perlindungan maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. Oleh kerana ia juga bersifat laksatif, ia dapat mempercepatkan proses pembuangan mekonium, yang merupakan di antara faktor utama terjadinya jaundis (demam kuning). Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi. Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi. Ini amat bersesuaian sekali dengan firman Allah yang bermaksud:

“Pada kejadian kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang melata yang bertebaran, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), bagi kaum yang meyakininya.(Al-Jathiyah: 4).”
Begitu juga dengan firman Allah swt dalam surah az-Zariyat ayat 20 dan 21 yang bermaksud,
Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”.
Di antara kandungan terpenting kolostrum adalah sejenis protein yang dinamakan Sekretori Immunoglobulin A (SIgA). Immunoglobulin adalah sejenis protein yang berfungsi sebagai antibodi di dalam badan manusia. Ia digunakan di dalam sistem pertahanan tubuh badan (sistem imuniti) untuk mengenalpasti dan meneutralkan objek asing seperti bakteria dan virus. SIgA adalah sejenis antibodi yang terdapat di dalam kolostrum dengan jumlah yang sangat tinggi. Kira-kira 80-90% daripada immunoglobulin di dalam kolostrum dan susu adalah terdiri daripada jenis SIgA. Kepekatannya boleh meningkat setinggi 12g/L di dalam kolostrum dan serendah 1g/L di dalam susu matang. Sebaliknya, disebabkan proses-proses yang perlu dilakukan ke atas, susu formula tiada langsung mengandungi SIgA.
Seorang bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif akan mendapat kira-kira 125mg/kg/hari SIgA pada umur sebulan, dan lebih kurang 75mg/kg/hari ketika berumur 4 bulan. Walaupun kepekatan SIgA di dalam kolostrum menurun dengan drastiknya dalam masa beberapa hari selepas kelahiran, tetapi dalam pada masa yang sama jumlah susu ibu turut meningkat dengan tingginya. Oleh itu jumlah total SIgA adalah hampir kekal sepertimana di awal kelahiran.
Manakala paras SIgA di dalam susu ibu yang melahirkan bayi pramatang adalah lebih tinggi berbanding dengan susu ibu yang melahirkan bayi matang. Bayi pramatang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit-penyakit yang berbahaya seperti Necrotizing Enterocolitis (NEC), sepsis, meningitis dan jangkitan virus. Kandungan antimikrob seperti immunoglobulin yang tinggi di dalam susu pramatang akan membantu untuk melindungi bayi pramatang daripada penyakit- penyakit tersebut.
Para saintis sudah membuktikan bahawa antibodi jenis SIgA dapat melawan pelbagai jenis bakteria, terutamanya bakteria yang berasal dari sistem usus bayi. SIgA adalah sejenis antibodi yang stabil dan berdaya tahan terhadap enzim proteolitik (enzim pemecah protein) di dalam perut, berbanding dengan antibodi jenis lain. Ketika bayi sedang menyusu, antibodi yang terdapat di dalam susu ibu ini akan bergerak masuk ke dalam saluran perut dan usus. Di dalam perjalanan itu, ia akan bergabung dengan mikrob-mikrob yang terdapat pada membran mukosa (sejenis lapisan yang melapisi sistem usus). Dengan itu, ia dapat menghalang mikrob daripada melekat pada sel-sel usus. Proses pelekatan mikrob pada sel usus merupakan langkah pertama untuk berlakunya sebarang jangkitan kepada bayi. Dengan itu, SIgA berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan bayi yang utama untuk melawan jangkitan usus. Maha Suci Allah, ciptaanNya amat hebat dan tidak mampu disaingi oleh mana-mana ciptaan manusia. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Firman Allah yang bermaksud:
“Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya.” (Al-A’la : 2)”
Kajian - kajian klinikal telah menunjukkan bahawa SIgA yang terdapat di dalam susu ibu mampu untuk melawan kuman seperti Vibrio cholerae (kuman untuk penyakit taun), enterotoksigenik E. coli, Campylobacter, Shigella dan Giardia lamblia. Kuman- kuman tersebut biasanya yang menyebabkan keracunan makanan pada manusia. SIgA mampu melindungi bayi daripada serangan cirit-birit yang disebabkan oleh kuman-kuman tersebut. Begitulah istimewanya SIgA yang hanya terdapat di dalam susu ibu.
Tidak dinafikan juga, susu ibu terutamanya kolostrum merupakan immunisasi pertama & terpenting bagi setiap bayi. Ketika bayi masih di dalam rahim ibu, dunia bayi adalah dunia yang selamat, bersih dan tidak tercemar oleh sebarang kuman mahupun jangkitan. Ini kerana rahim ibu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada bayi yang masih lemah. Rahim ibu bolehlah dianggap sebagai kawasan vakum yang tidak boleh dilolos oleh sebarang kekotoran. Namun, sebaik sahaja bayi dilahirkan, dunia kecilnya yang selamat itu telah bertukar menjadi sebuah dunia yang amat luas dan penuh dengan pancaroba kuman dan jangkitan.
Allah swt itu Maha Kaya dan Maha Pencipta. Dicipta-Nya kolostrum (susu awal ibu) dengan hikmahnya yang tersendiri. Kolostrum merupakan sumber pertahanan yang terpenting bagi bayi yang baru lahir. Ia mengandungi antibodi dan sel-sel hidup yang mampu menyelamatkan bayi sebelum diberikan imunisasi formal (BCG, DPT, vaksin polio dan lain-lain). Inilah merupakan satu contoh sumber bukan nutrisi yang hanya terdapat di dalam susu ibu. Benarlah firman Allah swt yang bermaksud,
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)?. (surah at-tin: 4)”
Fisiologi jumlah isipadu kolostrum
Jumlah total kolostrum pada 24 jam pertama selepas lahir adalah sedikit (dipetik dari Riordan, 2005), tetapi sebenarnya jumlah ini sudah mencukupi untuk bayi itu. Secara puratanya hanya 37 ml kolostrum dihasilkan dalam satu hari (24 jam), dengan julat dari 7 hingga 123 ml, bergantung kepada penghasilan pada seseorang ibu tersebut. Jumlah ini semakin bertambah secara beransur- ansur dalam 36 jam pertama dan ia akan bertambah secara mendadak dalam 49-96 jam berikutnya. Pada hari kelima, jumlah isipadu total akan mencapai 500 ml / sehari. Jumlah ini seterusnya semakin meningkat ke 750 ml / sehari dalam selang masa 3 hingga 5 bulan penyusuan secara eksklusif. Apabila bayi mencapai umur 6 bulan, purata pengambilan susu adalah 800 ml / sehari.
Berdasarkan jumlah kolostrum pada 3 hari pertama kelahiran, ramai ibu merasa risau dan berpendapat bahawa susunya tidak mencukupi untuk bayi itu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa jumlah yang sedikit (37 ml) itulah sebenarnya yang hanya diperlukan oleh bayi. Itulah sejumlah yang kecil untuk keperluan dan saiz perut yang kecil. Sesungguhnya persoalan susu tidak cukup pada hari ? hari pertama kelahiran adalah tidak wajar diutarakan. Jika ibu itu mengharapkan susunya mengalir mencurah-curah sehingga 500ml pada hari pertama, memanglah mustahil. Ini kerana bayi yang masih kecil itu tidak memerlukan jumlah susu yang banyak pada mulanya. Indah sungguh ciptaan Mu ya Allah. Kau jadikan sesuatu itu cukup berdasarkan keperluannya. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengapa masih ramai yang ragu dengan ciptaan-Mu yang satu ini? Sedangkan Kau juga telah berfirman yang maksudnya:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (surah Luqman: 14).
Maka yakinlah, jika seseorang ibu itu mampu mengandung dan melahirkan anaknya, maka mengapa pula dia tidak mampu menyusukan anak itu dengan susunya sendiri?
Antara tips-tips yang penting untuk memastikan bayi mendapat kolostrum dengan secukupnya pada hari-hari awal kelahiran adalah dengan meletakkan bayi kepada ibu dengan sentuhan kulit ke kulit sebaik sahaja bayi dilahirkan. Seterusnya, usahakan agar bayi dapat menyusu dengan baik dan melekap dengan betul di payudara. Ini penting agar proses stimulasi dapat berlaku dengan lancar di samping dapat mengeluarkan kolostrum dari payudara dengan efektif. Jika ibu tidak mahir, maka segera dapatkan bantuan dari doktor, bidan ataupun jururawat yang bertugas. Antara tips- tips lain yang tidak kurang pentingnya adalah, sentiasa susukan bayi pada bila-bila masa sahaja yang dia mahu. Biarkan bayi bersama ibu sepanjang masa (rooming in) dan elakkan dari bayi dibiarkan di bilik bayi atau nursery? ketika berada di hospital. Rooming in amat penting agar ibu sentiasa memantau keadaan bayi dan segera menyusukannya bila bayi menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu. Ia juga penting untuk mengelakkan kes jangkitan silang (cross infection) yang mungkin berlaku kepada jika bayi ditinggalkan di bilik bayi. Susukan bayi dengan susu ibu sahaja dan elakkan pemberian air lain seperti air kosong, air teh, air glukos mahupun susu formula. Dengan itu, bayi akan mendapat kebaikan susu ibu sepenuhnya tanpa dicemari oleh alternatif lain.
Sewajarnya setiap ibu haruslah memberikan bayi mereka kolostrum yang sangat berkhasiat itu demi kesihatan dan pertumbuhan bayi yang tercinta. Sesungguhnya kasih ibu sentiasa padu dan salah satu caranya untuk membuktikan kasih itu adalah dengan memberikan nutrisi yang terbaik untuk anak -anak. Dan sesungguhnya, tiada nutrisi lain yang sebaik dan seistimewa susu ibu. Hapuskanlah kerisauan mengenai mitos-mitos yang menyelubungi kolostrum ini kerana sesungguhnya setiap ciptaan yang Allah jadikan itu adalah yang sebaiknya untuk umat manusia.

credit

Keberkatan Susu Badan

AMALAN penyusuan susu ibu sering dikaitkan dengan budaya tradisional oleh ibu yang mendakwa diri mereka lebih moden. Pelbagai tanggapan negatif dilemparkan mengenai amalan penyusuan itu dengan menyatakan kaedah itu menyebabkan susuk bentuk badan berubah dan akan kelihatan tidak menarik.
Malah, ada yang mempunyai persepsi memberi susu formula lebih mudah kerana terikut-ikut aliran trend moden yang ingin menjimatkan masa. Tidak kurang juga ada segelintir ibu yang kurang yakin pada diri sendiri untuk menyusukan anak mereka lantaran bimbang payu dara menjadi sakit, bengkak atau menjadi kendur.
Betulkah semua tanggapan sedemikian? Sebenarnya payu dara wanita adalah anugerah Allah yang amat istimewa kerana dapat membekalkan susu untuk anak-anak mereka. Kaedah penyusuan susu badan mengandungi hikmah cukup besar kepada ibu dan anak. Ketahuilah penyusuan itu bukan saja digalakkan dalam Islam malah hal itu diakui pakar pemakanan dan kesihatan yang menyatakan susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi. Hakikatnya pada tahap awal pembesaran seseorang bayi, mereka sangat memerlukan khasiat pemakanan yang baik dan sesuai untuk menghindari sebarang penyakit. Susu ibu mempunyai antibodi yang utama untuk melindungi bayi daripada jangkitan kuman, virus dan bakteria terutama pada bahagian usus dan paru-paru bayi itu. Pemberian susu badan adalah yang terbaik kerana ia sesuai dengan sistem pencernaan bayi. Atas faktor itulah kita dapati bayi yang menyusu badan akan meminum susu lebih kerap berbanding bayi yang meminum susu formula. Hal ini disebabkan susu ibu itu mudah hadam. Ibu seharusnya menyedari seseorang bayi secara fitrahnya tidak dapat menerima makanan yang keras kerana keadaan sistem penghadaman mereka belum mencapai tahap matang.
Justeru, susu ibu lebih sesuai dan berkesan untuk bayi mereka kerana lebih halus dan lembut. Satu faktor yang ibu harus fahami ialah menyusukan bayi dengan susu sendiri dari segi psikologi akan memberi kesan positif pada pertumbuhan dan perkembangan mental. Hal itu diakui oleh pakar Barat yang mengkaji kebaikan susu ibu. Sekumpulan penyelidik dari Adelaides Flinders Medical Centre, Amerika Syarikat melaporkan bayi yang diberi susu ibu 40 peratus lebih cerdas berbanding bayi susu formula. Ini membuktikan susu ibu dianugerahkan Tuhan untuk bayi sepatutnya diambil peluang sepenuh oleh ibu. Susu ibu sangat berkesan untuk perkembangan otak bayi kerana terdapatnya kandungan DHA, iaitu sejenis asid lemak yang mampu bertindak meninggikan tahap perkembangan mental bayi.
Dengan itu dapat difahami jika seseorang bayi menyusui dada ibu lebih kerap dan dalam tempoh yang lama, tentu akan memberi impak positif kepada pertumbuhan dan perkembangan mental. Keadaan ini bersesuaian dengan kehendak Islam yang sangat menggalakkan ibu menyusui bayi mereka.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud: Ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bayi yang ingin menyempurnakannya. Maksud intipati ayat itu ialah satu kewajipan buat ibu menyusui bayi mereka dan seharusnya menyempurnakan hak bayi untuk menikmati dan mendapat kebaikan susu ibu.
Susu ibu juga pengikat kasih sayang antara ibu dan bayi. Dengan belaian mesra, pelukan erat dalam dakapan ibu akan mengalirkan unsur kasih sayang sejati yang tiada taranya antara ibu dan bayi. Bayangkan, dalam kenikmatan yang tidak ternilai yang dialami bayi semasa proses penyusuan membuatkan bayi itu terlena. Malah, bayi berasa aman, selamat dan harmoni dalam dakapan seorang ibu semasa meminum susu ibu mereka. Indahnya anugerah Allah.
Ibu seharusnya bangga dapat menyusukan anak-anak mereka kerana inilah darjat ketinggian seorang ibu yang dianugerahkan Allah yang tidak dikurniakan kepada golongan bapa. Apa tidaknya, kerana susu yang diminum oleh bayi mereka bukan saja sebagai tali pengikat kasih sayang yang luhur murni malah menjadi komponen asas proses pembesaran bayi. Disebabkan itulah dalam Islam mewajibkan seorang anak itu sentiasa menghormati dan menjaga ibu mereka sebagai tanda kasih sayang dan terhutang budi membesarkan mereka.
Firman Allah dalam Surah Al-Isra ayat 17-23 yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya sampai lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya ah dan janganlah kamu membantah, menengking dan menyergah mereka dan ucapkanlah perkataan yang mulia. Alangkah murninya suruhan Allah kepada kita semua dan betapa mulianya darjat kedua-dua ibu bapa kita di sisi Allah.
Namun demikian kita amat sedih membaca laporan Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan pada 2008 menyatakan budaya penyusuan badan di kalangan ibu di Malaysia kini berada pada tahap sangat rendah, iaitu hanya 14.5 peratus daripada mereka yang mengamalkan kaedah itu kepada bayi sehingga berumur enam bulan. Masalah itu berpunca daripada kejahilan mengenai nilai susu badan, kurang sokongan anggota keluarga dan kaki tangan penjagaan kesihatan serta kembali bekerja sebaik saja tamat tempoh cuti bersalin yang diwajibkan. Menurut laporan itu lagi, faktor lain ialah kesan atau pengaruh iklan komersial makanan bayi yang menggambarkan seolah-olah ia sama manfaatnya dengan susu ibu.
Sehubungan itu, kementerian sudah mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya. Antaranya ialah merangka kod etika produk formula bayi yang berkuat kuasa pada Ogos tahun lalu bagi melindungi, mempromosi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu. Ini adalah langkah tambahan daripada apa yang pernah dilaksanakan pada 1979 yang didapati kurang berkesan. Antara lain Kod Etika Produk Formula Bayi itu memberikan garis panduan yang jelas untuk mengawal promosi yang kompetitif dan mengelirukan golongan ibu. Tujuan utama kod berkenaan ialah untuk memastikan pekilang dan pengedar agar jangan memasar, mempromosi atau mengiklankan produk dalam cara seolah-olah mencabar atau menggambarkan mengatasi mutu dan kualiti terbaik susu ibu.
Sudah tentu langkah kementerian itu kena pada masanya dan sangat berkesan dalam mendidik wanita mengenai kelebihan susu ibu. Sedarilah ibu bahawa penyusuan susu ibu bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan dan tidak langsung mendatangkan kesan sampingan kepada diri ibu dan bayi malah menjadi sumber pemakanan terbaik. Gunakanlah anugerah Allah itu sebaik mungkin kerana susu ibu sesuai sepanjang zaman. Binalah keberkatan membesarkan anak-anak dengan memberi susu sendiri. Menepati kehendak agama dan berkhasiat menurut kajian saintifik.

credit

Risiko bayi dan kanak-kanak minum susu formula


Dibandingkan dengan susu ibu, susu formula  hilang banyak perkara yang bayi perlukan untuk kuat, sihat dan cerdas. Tahukah anda:
Bayi yang minum susu formula mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat:
  • Jangkitan telinga
  • Cirit-birit / sembelit
  • Pneumonia (radang paru-paru)
  • SIDS (Sudden Infant Death Syndrome) – Sindrom Kematian Bayi Mendadak
Kanak-kanak yang diberi susu formula mempunyai risiko yang lebih besar untuk:
  • Obesiti (menjadi gemuk)
  • Diabetes
  • Asma dan alergi
  • Kanser
credit

Khamis, 20 Oktober 2011

Tips untuk meningkatkan hasil tenusu

1. Dapatkan pam yg bersesuian yg dapat membantu menjimatkan masa dan selesa digunakan.
2. Periksa sekiranya pam anda mempunyai masalah sedutan atau sebagainya yg membuatkan susu semakin kurang
3. Kerapkan penyusuan atau mengepam setiap 1 1/2 jam atau 2 jam sekali. Jika perlu buat hyperstimulation/power-pumping dgn menggunakan pam yg ada double-pumping
4. Pastikan bayi menyusu pada kedua-dua belah payudara sehingga bayi berhenti sendiri
5. Tingkatkan masa mengepam spt selepas bayi menyusu tambahkan sesi mengepam sekurang-kurangnya 5-10 minit untuk tujuan stimulasi
6. Bagi bayi dibawah umur 6 bulan, elakkan diberi air masak, formula dan jus buahan utk pastikan bayi terus menyusu badan
7. Ibu disarankan mengambil makanan yang mengandungi protein dan kalsium untuk menghasilkan lebih banyak hasil tenusu
8. Pelbagaikan menu makanan bagi bayi yg telah memulakan solid food jika ibu masih tidak dapat menyediakan jumlah susu yang diperlukan.
9. ibu digalakkan meminum banyak air masak (3 liter sehari) ataupun perbanyakkan makanan yang mengandungi sup.
10. Banyakkan berehat. Jangan asingkan tempat tidur bayi untuk memudahkan penyusuan dan perbanyakkan sentuhan kulit ke kulit untuk menggalakkan bayi menyusu dengan lebih lama
11. Kerap menyusukan bayi. Susukan bayi anda sebelum pergi bekerja dan menyusukan bagi sebaik pulang dari tempat kerja (pesan dengan babysitter untuk tidak memberikan bayi EBM sekurang-kurangnya 1 jam sebelum anda pulang.Cara ini juga dapat menjimatkan EBM)
12. Banyakkan sesi mengepam di pejabat dan di rumah sekiranya bayi telah kenyang.
13. Elakkan memberi bayi botol susu ketika bersama anda. Bayi yang minum melalui botol akan minum lebih banyak kerana pengaliran susu laju berbanding menyusu terus dari ibu.
14. Elakkan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan susu drop spt penggunaan pil perancang. Haid juga salah satu sebab susu menjadi kurang, elakkan stress dan sentiasa menjaga kesihatan agar tidak jatuh sakit.
15. Langkah terakhir dengan pengambilan galactagogues. elakkan dari mengambil pil yang mengandungi dadah seperti motilium. GALACTAGOGUE adalah penggalak susu. Salah satu penggalak susu yang famous ialah ALFALFA, fenugreek, SOY PROTEIN dan sebagainya..

Panduan menyimpan EBM dan bagaimana dengan EBM yang telah digunakan

Panduan untuk menyimpan EBM.. berapa lama ia bertahan untuk suhu yg tertentu dan apa yg ibu harus lakukan kat baki EBM yang dah digunakan..jom rujuk jadual ni

Reminder: Use clean containers, and wash your hands with soap and water before expressing. or pumping.

Panduan untuk menyimpan EBM..


Tempat simpanan
Suhu tempat penyimpanan susu
(Fahrenheit)
Suhu tempat penyimpanan susu
(degrees Celcius)
Berapa lama EBM boleh bertahan
Suhu bilik
60 degrees F
15 degrees C
24 jam
Suhu bilik
66-72 degrees F
19-22 degrees C
10 jam
Suhu bilik
79 degrees F
25 degrees C
4-6 jam
Dalam peti sejuk
32-39 degrees F
0-4 degrees C
8 hari
Dalam freezer *yg peti sejuk jenis satu pintu)


2 minggu
Dalam tempat beku (compartment asing..ie peti sejuk dua tiga pintu tu)


3-4 bulan
In a separate deep freeze with a constant temperature(ini yang deep freezer)
0 degrees F
-19 degrees C
6 bulan ke atas


Bagaimana dengan EBM yang dah dibuka atau dipanaskan? selebihnya nak disimpan atau dibuang?.. rujuk jadual ni yer


Type of Milk
Simpan atau buang?
Why
Baki susu (EBM) didalam botol yang dah diminum
Guna untuk next feeding (tapi dalam tempoh masa yang x terlalu lama), otherwise discard(buang)
Bacteria from the baby's mouth may have entered the milk during the feeding. This may lead to bacterial contamination if it sets too long
Susu yang dah dipanaskan
Save in the refrigerator for 24 hours after thawing, then discard. Jangan dibekukan semula
Milk that has been frozen has lost some of the immune properties that inhibit bacterial growth in fresh refrigerated milk.
Susu didalam peti sejuk yang dah berada selama 8hari
Transfer to storage in the freezer, or buang saja
Mungkin masalah pertumbuhan bakteria bukan isunya.. tapi susu tu dah angkut bau2 dan perasa2 luaran dlm petisejuk tu jadi efek kat rasa susu tu.

Doa utk menambahkan susu

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kehidupanku, banyakkanlah susuku untuk bayiku, dan permudahkanlah perjalananku untuk menyusukan anakku agar menuruti segala yang telah Engkau syariatkan.
Ya Allah, seberapa banyak susu yang aku perolehi hari ini, penuhilah dengan rahmatMu dan keberkatan disisiMu. Semoga dengan keberkatanMu, susu yang sedikit menjadi banyak dan kenyang buat anakku...Amin...